1001 KISAH TELADAN
Adapun
terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan
langit. Berkata dia kepada langit, "Hai langit, aku lebih baik dari kamu
kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara,
beberapa laut, sungai-sungai, tanam-anaman, beberapa gunung dan
lain-lain." Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu
kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, 'arasy, kursi
dan syurga ada padaku."
Berkata
bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf
para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang
baik)." Bumi berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para
nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru
sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan
yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya
juga di tempatku."
Langit
tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan
diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah
mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada
Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya
Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi
mulia dengan kebagusannya dan berbangga."
Lalu
Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu
kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, "Janganlah engkau
(Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut
nyawa pada malam ini." Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah
kiamat telah sampai?" Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai
Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi
kepada Muhammad dengan buraq itu."
Kemudian
Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di
taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara
40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang
menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu
bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?" Berkata buraq,
"Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40
tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu
menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana
dibakar oleh api kerinduan."
Berkata
Jibrail A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau
rindukan itu." Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada
buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahu'alam. Buraq yang
diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan
Mikraj.