1001 KISAH TELADAN
Nabi
Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T
Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di
atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan
Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada
pada nabi-nabi lain.
Suatu
hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di
syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah pun menjawab dengan
mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat
jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat
yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga
Nabi Musa ke tempat berkenaan. Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di
situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam
beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.
Tuan
rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan
sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi
betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut
melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh
kehairanan. Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi
itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam
bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor
babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan.
Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang.
Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai
kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama
kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam.
"Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu."
Kata Nabi Musa. "Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya
kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan
dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang
hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan
Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak.
Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat
tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan
tugasku.", sambungnya.
"Setiap
hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah
menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum
memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi. Maka ketika itu juga Allah
menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan
berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa
kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti
juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami." Allah
juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di
maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua
ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam
syurga."
Itulah
berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang
akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat
dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan
ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di
akhirat kelak. Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu
bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang
sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.
Walau
banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan
kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni
Allah S.W.T. Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat
yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam
kubur. Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran
wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan
doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah. Untuk
mengetahui lebih mendalam kisah alam akhirat sila dapatkan buku terbitan
syarikat Nurulhas yang berjudul: BILA IZRAIL A.S. DATANG MEMANGGIL
Tidak ada komentar:
Posting Komentar