1001 KISAH TELADAN
Abu
Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia
pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul
ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka
salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam
bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari
rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa
yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga;
engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah
engkau daripadanya."
Pada
keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan
kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.
Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama
aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat
dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan
hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu
mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun
mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan
madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian
Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas.
Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun
menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian
ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun
menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi
itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan
perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar
semula dari tempat ia ditanam.Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia
ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian
terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah
aku."
Mendengar
rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan
dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu
pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku
sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah
engkau patahkan harapanku dari rezekiku." Nabi itu teringatkan pesanan
arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia
menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat
keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan
diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang
dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas
kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu
dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari
situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah
menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam
itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun
melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka
jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini." Dalam mimpi beliau telah
diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah
marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika
bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih
manis daripada madu.
Kedua;
semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak
jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat
kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi
membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu
ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang
sedang duduk berkumpul membuat ghibah." Saudara-saudaraku, kelima-lima
kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara
ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang
tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi
tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa
kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah
hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat
pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah,
sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia
dulu."
Maka
berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang
dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata
itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri.
Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar